KULIT kayu tangar dirampas daripada remaja berkenaan. FOTO Jabatan Perhutanan Sabah
KULIT kayu tangar dirampas daripada remaja berkenaan. FOTO Jabatan Perhutanan Sabah
Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Satu sindiket dari Filipina yang menyasarkan beberapa lokasi di negeri ini untuk mencuri kulit kayu tangar berjaya dikesan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS).

Ketua Konservator JPS Frederick Kugan berkata, sindiket itu didapati menyasarkan empat daerah yang terletak di pesisir pantai Sabah seperti di Kinabatangan, Beluran, Pitas dan Kudat .

Menurutnya, lokasi berkenaan seperti Sungai (SG) Pitas, Sungai Inarab di Pitas, Sungai Sugut, perairan Pulau Jambongan, di Beluran, pesisir perairan Pulau Bangi di Kudat dan Kuala Meruap di Kinabatangan.

"Lokasi ini sangat padat dengan spesies kayu tangar dan kulit kayu ini sesuai untuk dijadikan pewarna pakaian serta digunakan dalam industri minuman.

"Modus operandi pencuri adalah menyelinap masuk secara haram di semua lokasi sasaran.

"Kami percaya terdapat pembabitan orang tempatan yang bertindak sebagai dalang untuk sindiket ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Frederick berkata, tangkapan yang terbaru membabitkan kes itu berjaya dibuat pada 7 Ogos lalu.

"Dalam kes itu, seorang remaja berusia 16 tahun yang berasal dari Taganak, Filipina ditahan di Hutan Simpan Trusan, Kinabatangan ketika memunggah kulit kayu tangar ke dalam bot.

"Remaja itu ditahan bersama 950 kilogram kulit kayu tangar. Anggaran kayu tangar yang ditumbangkan suspek ini adalah lebih kurang 170 pokok dengan keluasan lebih kurang dua hektar," katanya.

Menurutnya, remaja itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan 1968 iaitu memiliki barangan hutan (kulit kayu tangar) secara tidak sah.

Mengulas lanjut, Frederick Kugan berkata, lokasi kes pengambilan kulit tangar ini juga turut dikesan di dalam Tapak Lembangan Kinabatangan dan Segama seluas 78,000 hektar.

"Kawasan ini merupakan satu tapak Ramsar paling luas di Malaysia yang mana menjadi perhatian seluruh dunia.

"Oleh itu, kejadian ini akan menjejaskan nama baik Sabah khususnya dan Malaysia amnya sekiranya aktiviti seumpama ini tidak dibendung.

"Dalam pada itu, ekosistem bakau di kawasan ini juga merupakan habitat atau sumber pembiakan ikan yang penting untuk Sabah," katanya.

Frederick berkata, JPS akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan dengan menambah keupayaan kakitangan termasuk menggunakan sepenuhnya Unit Khas Penguat Kuasa JPS atau 'Protect Team' yang terlatih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:32 PM