GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan berhak mengambil tindakan terhadap golongan yang sengaja menolak vaksin Covid-19 tanpa alasan munasabah bagi menjaga kemaslahatan seluruh rakyat.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Ainul Jaria Maidin berkata, kerajaan mempunyai bidang kuasa membuat peruntukan mengenakan denda ke atas pihak yang menolak vaksin atas dasar menjaga keselamatan awam.

Katanya, kerajaan mempunyai dua pilihan dalam mewartakan undang-undang berkaitan sama ada meminda akta sedia ada atau menggubal Ordinan Darurat baharu.

"Pewartaan undang-undang dalam waktu darurat adalah lebih mudah mengambil kira kuasa kerajaan untuk meminda undang-undang yang ada dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Pada masa sama, denda yang dikenakan bukan hanya terhad kepada golongan yang menolak vaksin malah kepada golongan antivaksin kerana menyebarkan berita palsu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Dalam situasi ini, kuasa kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat di mana keperluan kesihatan dan ekonomi akan mengatasi kepentingan individu yang menolak vaksin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas kewajaran tindakan dikenakan kepada golongan yang masih menolak vaksin Covid-19 sepertimana dipraktikkan sesetengah negara lain termasuk Indonesia yang mengenakan denda dan menarik bantuan sosial.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan juga perlu meningkatkan kesedaran dan memperluaskan kadar liputan imunisasi dengan mengambil kira hukum berdasarkan kerangka maqasid syariah membabitkan kepentingan memelihara nyawa.

"Kerajaan hendaklah menyediakan maklumat lengkap untuk rakyat memahami kepentingan vaksin dan sumber vaksin supaya masyarakat terutama yang beragama Islam boleh menerimanya tanpa ragu-ragu.

"Menolak vaksin mendedahkan diri kita dan ahli keluarga serta masyarakat kepada bahaya yang mungkin menyebabkan jangkitan Covid-19 dan risiko lebih buruk.

"Risiko penolakan vaksin lebih besar berbanding mudarat kesan sampingan daripada pengambilan suntikan vaksin yang hanya bersifat sementara apatah lagi vaksin terbukti dapat memberi perlindungan kepada masyarakat sekali gus mempengaruhi status kesihatan awam keseluruhannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 6:54 PM