Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia adalah antara yang terpantas di seluruh dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sempena Bulan Kemerdekaan ini kerajaan mengumumkan pembelian tambahan enam juta dos vaksin yang akan diterima menjelang awal September ini.

"Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari.

"Bersandarkan data ini, kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya supaya segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

"Demi mencapai sasaran ini lebih awal, kerajaan ini akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat," katanya dalam Perutusan Khas pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin.

"Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia.

"Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian.

"Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan 'frontliners' yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu," katanya.

Ismail Sabri berkata, pihaknya optimis melalui kejayaan program vaksinasi itu kelak membolehkan ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.

"Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah.

"Gambaran ini bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita pernah berjaya menurunkan statistik pesakit Covid-19.

"Ini kerana fakta terkini pada Jumaat lalu (kelmarin) membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut," katanya.

Katanya, ini bukanlah bermakna negara akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19.

"Tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang.

"Pandemik Covid-19 adalah musuh kita semua. Mengambil kira situasi getir pandemik Covid-19 dunia, umum mengetahui varian wabak ini sentiasa berevolusi.

"Bermula daripada varian alpha kepada beta, dan yang terkini ialah varian lambda," katanya.

Menurutnya, strategi yang dirangka kerajaan sebelum ini akan diteruskan dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar Kesihatan Awam negara.

"Saya akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

"Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 5:49 PM