SUSPEK berjaya ditahan polis selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan di Jalan Bakri, Muar, semalam. FOTO Ihsan pembaca
SUSPEK berjaya ditahan polis selepas kenderaannya terlibat dalam kemalangan di Jalan Bakri, Muar, semalam. FOTO Ihsan pembaca
Essa Abu Yamin

Muar: Tindakan lelaki yang melarikan diri dengan kereta ketika pemeriksaan polis di Jalan Bakri, di sini, mengundang padah apabila berjaya ditahan, semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam, sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan menahan suspek berusia 30-an di lokasi itu untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, suspek secara tiba-tiba bertindak melarikan diri dengan menaiki kenderaannya sebelum diekori anggota polis.

Menurutnya, anggota polis mengarahkan suspek memberhentikan keretanya, tetapi lelaki itu terus memecut laju dan membuat pusingan U.

"Akibat itu, kereta dipandu suspek melanggar sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan di laluan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang berjaya ditahan, polis merampas 3.9 gram dadah disyaki syabu.

"Saringan ujian air kencing yang dilakukan turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan dibuat Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, berikutan itu pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 5:51 PM