Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pelbagai cara ditampilkan rakyat untuk menyatakan kecintaan kepada negara dan bagi pengayuh beca Che Kamarudin Che Amat, 62, semestinya dia memilik menghias kenderaan miliknya itu dengan menggunakan Jalur Gemilang.

Bermodalkan RM300, dia menghias beca miliknya sedikit demi sedikit bermula Jun lalu dengan kreativitinya sendiri menggunakan batang paip PVC untuk menggantungkan lebih 100 Jalur Gemilang pelbagai saiz setinggi empat meter selain dihiasi dengan bunga.

Katanya, sejak 2016 dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menghias beca miliknya dan menjadi rutin wajib menjelang sambutan Hari Kemerdekaan sehingga mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang melihatnya ketika becanya itu menyusuri jalan di sekitar bandar Kota Bharu.

"Ada yang sanggup membayar untuk mengambil gambar sebagai kenangan dan wang yang diberikan itu dapatlah saya beli barang keperluan kerana ketika ini agak sukar untuk mendapatkan pelanggan.

"Bagaimanapun, bukan niat saya untuk mendapatkan wang dengan menghias beca ini tetapi kerana ingin menunjukkan semangat cintakan tanah air," katanya ketika ditemui di bandar Kota Bharu, hari ini.

CHE Kamarudin bersama beca miliknya yang dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi membuktikan semangat cintakan negara.FOTO Hazira Ahmad Zaidi
CHE Kamarudin bersama beca miliknya yang dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi membuktikan semangat cintakan negara.FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Bapa kepada 10 anak berusia antara 11 hingga 35 tahun itu berkata, walaupun tahun ini sambutan Hari Kemerdekaan tidak semeriah sebelumnya akibat pandemik Covid-19, ia bukan halangan untuknya menterjemahkan semangat cintakan negara melalui hiasan Jalur Gemilang di beca miliknya.

"Inilah yang dapat saya lakukan untuk menunjukkan rasa sayangkan negara.

"Meskipun mengeluarkan modal dan kos sendiri namun saya bangga dapat menghias beca dengan idea saya sendiri dan mahu orang ramai juga dapat bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

"Jalur Gemilang bukan hanya sekadar kain tetapi ia adalah simbol paling penting untuk negara kita," katanya yang menetap di Berek 12 di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 1:04 PM