Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seramai 20 individu termasuk remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan parti di sebuah rumah di Bukit Gambir, Ahad lalu.

Empat remaja itu berusia 17 tahun membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah, bersama tertuduh lain iaitu Muhammad Faiz Fazlee, 18; Muhammad Afiq Ali, 19; Fazrul Hisham Faizal, 19; Nor Athirah Farizami Zali Zaidi, 19; Nur Umairah Mohd Rashidi, 19; Noorilyana Sufi Noorhisham, 19, dan Muhammad Aznil Mohd Azmi, 20.

Turut membuat pengakuan sama ialah Muhamad Danial Hakim Jamil, 20; Muhammad Isa Ramli, 20; Mohamad Muhaiman Hassim, 20; Nurul Izzaty Anuar, 20; Mohammad Aidiel Nazeem Farihan, 22; Nur Farah Wahidah Roslee, 23; Nur Amira Mohd Nasir, 24; Mohamad Fekri Amri Mohd Poudzi, 25, dan Nur Farah Hanis Mohd Hazri, 25.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melanggar PKP dengan menyertai parti persendirian untuk berhibur pada jam 12.30 tengah malam, 1 Ogos 2021 di sebuah rumah di Bukit Gambir, Gelugor di sini.

Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada 16 tertuduh, manakala empat tertuduh bawah umur dibenarkan diikat jamin RM2,000, sementara memperoleh laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebut semula kes buat empat remaja bawah umur itu ditetapkan 7 September depan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah, masing-masing 0.5 gram (g) ketamin; 0.6g methamphetamine dan 0.56g kanabis di tempat dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (3); Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Majistret R Manomani kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM1,500 masing-masing bagi empat remaja bawah umur, manakala 16 tertuduh lain ditetapkan RM6,000 setiap seorang.

Sebut semula kes ditetapkan 5 Oktober depan.

Di mahkamah sama, Muhammad Isa; Mohamad Muhaiman; Nor Athirah; dan Nur Umairah juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1) ADB 1952, namun membuat pengakuan tidak bersalah.

Manomani membenarkan mereka diikat jamin RM1,500 seorang, manakala tarikh sebutan kes ditetapkan pada 5 Oktober.

Sementara itu, di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Muna Maria Azmi yang bertindak sebagai Majistret, Mohamad Fekri; Muhammad Afiq; Fazrul Hisham; Nurul Izzaty; Noorilyana dan Nur Farah Wahidah turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952.

Mahkamah membenarkan Mohamad Fekri diikat jamin RM1,500, manakala lima lain diberi jaminan RM1,000 dengan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan terhadap semua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim dan Fatin Nur Athirah Zainudin, manakala semua tertuduh diwakili peguam RSN Rayer; Dzvuriyah Velayit Hussein dan S Shathish.

Media sebelum ini melaporkan 13 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan dalam serbuan di Taman Starhill, Bukit Gambir. Turut dirampas ialah dadah, kondom serta peralatan sistem audio.

20 individu berparti mengaku salah langgar PKP, tidak mengaku ambil dadah. FOTO MIKAIL ONG
20 individu berparti mengaku salah langgar PKP, tidak mengaku ambil dadah. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:16 PM