KALIDAS menunjukkan keadaan kandang ayam miliknya yang musnah terbakar dan membabitkan 100 ekor anak ayam mati semalam. Foto Mohd Amin Jalil
KALIDAS menunjukkan keadaan kandang ayam miliknya yang musnah terbakar dan membabitkan 100 ekor anak ayam mati semalam. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Rembau: "Saya sudah merancang untuk menjual 100 ekor anak ayam berkenaan hari ini namun semuanya hangus terbakar," kata S Kalidas, 38, susulan kejadian kandang ayam miliknya terbakar, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.26 petang itu, lebih 100 ekor anak ayam diternak lelaki itu mati apabila reban di Kampung Pasir Tengah, Rantau di sini, dijilat api.

Ketika kejadian Kalidas berada di pekan Rantau untuk menjual susu lembu sebelum isterinya menghubungi dan memaklumkan kebakaran itu.

Menurutnya, dia terus bergegas pulang dan mendapati anggota bomba sedang memadamkan kebakaran.

"Saya tidak sempat menyelamatkan lebih 100 ekor anak ayam. Turut terkorban dua ekor anjing peliharaan dan seekor arnab.

"Bagaimanapun 20 ekor lembu sempat keluar dari kandang yang terletak bersebelahan.

"Mujurlah pihak bomba sempat memadamkan kebakaran daripada merebak ke kandang lain. jika tidak mungkin kerugian dialami lebih besar," kata tadi.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Rantau, K Putthisigamany berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 petang dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:51 PM