GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pembatalan Ordinan Darurat tidak menjejaskan perjalanan Akta 342 sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No 2) 2021 [P.U (A) 313/2021] dibuat di bawah subseksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

"Perintah ini bertujuan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 dan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos sehingga ke 31 Disember 2021," katanya hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, perintah itu dilanjutkan bagi tempoh 1 April 2021 hingga 1 Ogos 2021.

"Perintah ini menetapkan semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan.

"Dengan berkuat kuasanya perintah ini, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

"Selain itu, perintah ini juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan, antaranya arahan Ketua Pengarah dan peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara," katanya.

Katanya, menerusi Proklamasi Darurat pula dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar berlaku di seluruh Malaysia mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

"Sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

"Perintah ini mahupun Proklamasi Darurat sudah diwartakan dan menjadi dokumen awam yang boleh diakses melalui portal Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Oleh itu, semua pihak diminta supaya tidak membuat tafsiran yang tersendiri dan tidak tepat mengenai perintah ini bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 4:17 PM