DR Ahmad Shahir Makhtar (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan fidyah iaitu pek makanan asasi kepada salah seorang penerima di Masjid As-Salam, Puchong hari ini. FOTO ihsan MAIS
DR Ahmad Shahir Makhtar (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan fidyah iaitu pek makanan asasi kepada salah seorang penerima di Masjid As-Salam, Puchong hari ini. FOTO ihsan MAIS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 5,455 keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menerima agihan wang fidyah diserahkan Majlis Agama Islam Selangor menerusi pelbagai program turun padang agensi berkenaan sejak awal tahun ini.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, program bantuan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi), masjid dan surau di daerah yang terbabit.

"Sumbangan diagihkan kepada keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama individu atau keluarga khususnya dari golongan B40, peniaga, penjaja yang terjejas punca pendapatan dan golongan yang hilang pekerjaan.

"Setiap keluarga menerima bantuan fidyah MAIS berupa pek makanan asasi seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

"Sumbangan berkenaan membabitkan jumlah agihan fidyah RM545,500," katanya tadi.

Terdahulu, MAIS menyampaikan sumbangan bantuan fidyah kepada 416 keluarga yang terkesan membabitkan wang fidyah sebanyak RM41,600 di sini, semalam.

Beliau berkata, bantuan juga turut disalurkan kepada mereka yang terkesan di Pertubuhan Penyayang SALAM (SALAM RELIEF) untuk 100 orang penerima dengan agihan wang fidyah sebanyak RM10,000.

"Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php,"' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 4:29 PM