Hazira Ahmad Zaidi

Tanah Merah: Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengambil masa lapan jam untuk memindahkan dua gajah liar di Kampung Kuala Tiga, di sini, hari ini.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, dua gajah betina yang berusia 5 hingga 15 tahun masing-masing seberat satu hingga dua tan itu berjaya ditangkap di kawasan hutan kampung berkenaan pada Jumaat lalu.

Katanya, operasi pemindahan kedua-dua gajah itu membabitkan 36 kakitangan Perhilitan Kelantan, Terengganu dan Perak dibantu petugas PKGK dengan menggunakan kaedah tembakan pelali untuk menenangkannya.

"Kami turut menggunakan dua ekor gajah denak betina iaitu 'Rambai' dan 'Abot' ketika proses pemindahan bagi tujuan memujuk sebelum dipindahkan ke Taman Negara Terengganu.

"Gajah liar yang pertama seberat satu tan ditarik keluar sejauh 1.5 kilometer (km) manakala gajah kedua seberat dua tan pula sejauh 1.1 km sebelum dibawa ke atas lori.

"Bagi memudahkan kedua-duanya ditarik keluar, kami membuat laluan khas," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi pemindahan gajah di Kampung Kuala Tiga, dekat sini, hari ini.

OPERASI memindahkan dua gajah liar yang ditangkap di Kampung Kuala Tiga. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
OPERASI memindahkan dua gajah liar yang ditangkap di Kampung Kuala Tiga. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, pihaknya percaya gajah berkenaan daripada kumpulan gajah liar daripada Hutan Simpan Kampung Air Kerilla yang memasuki kawasan kampung bagi mencari makanan dan selain pada ketika ini juga adalah musim buah-buahan.

"Cabaran yang dihadapi ketika proses pemindahan gajah liar adalah kehadiran orang ramai yang ingin melihat gajah yang dipindahkan, pada masa sama timbul kekhuatiran gajah ini akan mengamuk dan menyebabkan kecederaan kepada orang awam," katanya.

Mengulas lanjut, Che Ku Mohd Zamzuri berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan segera terhadap aduan berhubung haiwan liar itu yang memasuki kawasan kampung.

"Penduduk tidak perlu mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan gajah liar kerana tindakan sendiri berkemungkinan akan mendatangkan bahaya sebaliknya perlu membuat laporan kepada pihak berkenaan.

"Kerjasama penduduk amat diperlukan untuk memberi maklumat sekiranya ternampak kumpulan gajah liar yang berada di kawasan kampung mereka," katanya.

Katanya, sejak awal tahun hingga kini, sebanyak 36 ekor gajah liar di seluruh Semenanjung Malaysia yang sudah dipindahkan termasuk lapan dari Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 2:51 PM