Rumah penduduk dan bot yang sedang dibaiki di limbungan APMM Tanjung Sedili mengalami kerosakan dlama kejadian ribut petang hari ini. Foto Ihsan PDRM dan APMM
Rumah penduduk dan bot yang sedang dibaiki di limbungan APMM Tanjung Sedili mengalami kerosakan dlama kejadian ribut petang hari ini. Foto Ihsan PDRM dan APMM
Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Kira-kira 140 kediaman mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di kawasan Tanjung Sedili di sini, petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, Balai Polis Kuala Sedili turut terjejas dalam kejadian itu apabila sebuah kediaman perumahan polis rosak di bahagian bumbung dan garaj kereta.

"Tujuh kampung terjejas membabitkan 140 keluarga dan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Setia Jaya, Tanjung Sedili dan SK Sedili Besar, Sedili dalam proses dibuka bagi menempatkan mangsa.

"Jumlah mangsa yang akan dipindahkan ke PPS masih dalam tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghulu dan ketua kampung memandangkan kebanyakan mangsa mengambil keputusan untuk tinggal di rumah saudara masing-masing.

"Sehingga kini, tiada kehilangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, selain jumlah anggaran kerugian masih belum diperolehi dan pemantauan masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Pejabat Zon APMM Tanjung Sedili turut mengalami kerosakan susulan hujan lebat dan angin kencang pada 3.30 petang itu.

Menurutnya, berlakunya kerosakan dan kebocoran pada siling serta bumbung, selain beberapa tingkap pejabat turut pecah.

"Hujan lebat dan angin kencang di sekitar kawasan Tanjung Sedili turut merosakkan sebuah bot ronda APMM yang sedang dalam proses pembaikan di limbungan selepas dihempap besi dan bumbung yang runtuh.

"Komuniti maritim dinasihatkan mengambil langkah keselamatan dan sentiasa pastikan semua peralatan kecemasan seperti jaket keselamatan dibawa ketika cuaca buruk di laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 10:19 PM