BEBERAPA nelayan Vietnam yang cuba melarikan diri selepas kegiatan mereka menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara disedari pihak berkuasa. FOTO ihsan APMM
BEBERAPA nelayan Vietnam yang cuba melarikan diri selepas kegiatan mereka menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara disedari pihak berkuasa. FOTO ihsan APMM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Beberapa nelayan warga Vietnam nekad terjun ke dalam laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas kegiatan mereka menceroboh dan mencuri hasil laut di perairan negara disedari pihak berkuasa, semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota APMM mematahkan cubaan mereka sebelum 13 nelayan bersama dua bot ditahan bersama rampasan bernilai RM 3 juta.

Kedua-dua bot itu ditahan Kapal Maritim (KM) Gemia pada jarak antara 108 hingga 112 batu nautika dari Kuala Terengganu antara jam 9 hingga 10 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, KM Gemia yang melaksanakan Op Kuda Laut menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Terengganu (PUSOP) berkaitan kehadiran bot mencurigakan di sekitar sempadan perairan negara.

Beliau berkata, bot dipercayai nelayan Vietnam itu disyaki melakukan penangkapan hasil laut di perairan negara tanpa kebenaran sebelum KM Gemia digerakkan ke lokasi untuk membuat pemantauan.

"Pemeriksaan mendapati terdapat dua bot Vietnam di lokasi berkenaan dan beberapa nelayan cuba melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran anggota.

"Bagaimanapun, cubaan itu dipatahkan anggota KM Gemia yang menyelamatkan mereka naik ke atas kapal.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan 13 nelayan termasuk tekong berumur antara 22 hingga 41 tahun dan kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

"Kami turut merampas pelbagai hasil tangkapan laut, diesel dan peralatan ikan yang dianggarkan bernilai RM 3 juta sebelum bot dan nelayan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 7:33 PM