Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kejayaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi setiap negeri.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keadaan ini seterusnya akan membolehkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas.

Setakat ini katanya, enam negeri telah beralih ke Fasa 2 dan dua negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya beralih ke Fasa 3.

"Tambahan pula, Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi terpantas di dunia dalam melaksanakan program vaksinasi, dengan suntikan lebih dari 500,000 dos sehari.

"Setakat ini, lebih 70 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima satu dos vaksin. Pada kadar ini, 80 peratus populasi dewasa di Lembah Klang, dan 50 peratus populasi dewasa Malaysia dijangka lengkap divaksin menjelang akhir Ogos," katanya dalam kenyataan mengulas prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2021, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dalam memperkukuh prospek pertumbuhan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM530 bilion, dilengkapi oleh Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion.

Katanya, melalui pakej-pakej berkenaan, lebih daripada RM300 bilion masih tersedia untuk tahun ini, dan dijangka akan menyokong pemulihan ekonomi sepanjang pelbagai fasa PPN.

"Setakat ini, lebih daripada RM200 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi dan bantuan telah disalurkan dan memanfaatkan lebih daripada 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020.

"Faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia termasuk peningkatan permintaan luar daripada rakan dagangan utama, pemulihan harga komoditi, serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.

"Faktor-faktor ini akan mendukung asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan walaupun dalam tempoh yang mencabar, disokong oleh kecanggihan, kedalaman dan kepelbagaian ekonomi negara di mana sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang lebih daripada 80 peratus kepada ekonomi," katanya.

Katanya, sektor pembuatan dan eksport dijangka menerima manfaat daripada permintaan global bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), hidrokarbon seperti minyak mentah dan gas asli serta peralatan pelindungan diri.

"Secara keseluruhan, KDNK 2021 dijangka meningkat antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada hari ini.

"Bagaimanapun, kerajaan sentiasa berwaspada dengan pertumbuhan negara yang masih berdepan dengan risiko dan ketidaktentuan ekonomi domestik dan global.

"Ini termasuk penularan varian baharu Covid-19 yang boleh mengakibatkan pelanjutan sekatan pergerakan sedia ada dan menangguhkan aktiviti ekonomi untuk kembali normal, serta gangguan bekalan vaksin Covid-19 yang akan menjejaskan usaha untuk mencapai imuniti kelompok," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan menjangkakan prospek yang lebih mencabar bagi suku ketiga 2021 (S3 2021) berikutan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di sebahagian besar kawasan di Lembah Klang pada bulan Julai, serta Fasa 1 PPN yang berpanjangan di beberapa negeri yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara.

"Bagaimanapun, prospek ini akan diimbangi oleh pelonggaran sekatan kepada penerima vaksin lengkap, dan negeri yang telah berjaya beralih ke Fasa 2 dan Fasa 3.

"Prospek untuk suku keempat (S4 2021) dijangka bertambah baik, disokong oleh pemulihan beransur-ansur berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial apabila lebih ramai rakyat telah divaksin.

"Vaksinasi lengkap juga akan mengurangkan beban sistem kesihatan dengan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang lebih rendah," katanya.

Menurutnya, keutamaan semasa kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman Covid-19, dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang, didorong oleh PPN dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah.

"Kerajaan akan terus mengambil langkah strategik, proaktif dan tegas dalam mendepani situasi Covid-19 yang mencabar serta meminimumkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:54 PM