SYED Saddiq Abdul Rahman. FOTO arkib NSTP
SYED Saddiq Abdul Rahman. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Arahan menghentikan program penyerahan bantuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijalankan di Pusat Khidmat Parlimen Muar dikeluarkan oleh penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, arahan itu dikeluarkan susulan tiada permohonan secara berpusat dilakukan selain orang ramai berkumpul.

Katanya, difahamkan, Syed Saddiq hanya memohon untuk melakukan agihan barangan keperluan dari rumah ke rumah dan bukannya di Pusat Khidmat Parlimen Muar.

"Sebarang permohonan oleh Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menjalankan sebarang aktiviti memang dibenarkan namun perlu dapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah.

"Apa yang berlaku pengedaran barangan dibuat di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar, jadi ramai berkumpul lebih 100 orang, tiada penjarakan sosial.

"Penguat kuasa kesihatan daerah hadir di tempat berkenaan dan mengarahkan supaya majlis itu dihentikan. Yang diarahkan bukan polis tetapi penguat kuasa kesihatan daerah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq menerusi hantaran Facebook (FB) Selasa lalu, memaklumkan Pejabat Parlimen Muar diarah tutup oleh polis selepas menerima kehadiran 'luar biasa' orang ramai sejak Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, pihaknya menahan lelaki Rohingya dikenali sebagai 'Long Tiger' dipercayai melakukan kurungan salah di Muar, jam 9.45 malam pada Isnin lalu.

Katanya, ia membabitkan kesalahan mengurung bekas pekerjanya yang juga warga tempatan berusia 21 tahun selain siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

"Individu ini mempunyai rekod jenayah lampau seperti pemerasan, culik, rogol, dan sudah dijatuhi hukuman. Kini, dalam tempoh reman selama empat hari bermula 13 hingga 16 Julai ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 2:43 PM