KELUARGA mewakili Mohamad Nabil ketika majlis pertunangam secara maya.
KELUARGA mewakili Mohamad Nabil ketika majlis pertunangam secara maya.
Redzuan Muharam


Gombak: Selepas tiga bulan perancangan tertunda, Mohamad Nabil Kamal dan Anis Zulaikha Mohd Yussoff akhirnya selamat mengikat tali pertunangan mereka hari ini.

Uniknya, pertunangan mereka itu diadakan secara maya walaupun jarak rumah satu sama lain hanya lima kilometer (km) sahaja.

Majlis pertunangan yang diadakan menerusi aplikasi Zoom itu bermula pada 12 tengah hari dan disertai keluarga serta rakan terdekat pasangan berkenaan.

Berikutan sekatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), barang hantaran pasangan itu juga dihantar ke rumah masing-masing dengan menggunakan khidmat penghantar barang.

Bercerita lanjut, Mohamad Nabil, 26, yang menetap bersama keluarganya di sebuah pangsapuri dekat Batu Caves di sini, manakala Anis Zulaikha, 24, tinggal di Taman Sri Gombak mula berkenalan menerusi Instagram (IG) pada awal Jun tahun lalu.

Menurutnya, keserasian yang ada menyebabkan mereka mahu melangkah ke fasa lebih serius dan bersyukur kerana majlis pertunangan secara maya itu berjalan lancar walaupun hanya dirancang kira-kira dua minggu lalu.

"Idea ini sebenarnya tercetus daripada kakak ipar saya (Puteri Nurainie Zainol) selepas melihat kelancaran majlis pertunangan selebriti Ayda Jebat dan upacara merisik secara maya oleh pelakon dan pengarah filem, Erma Fatima.

"Selepas berbincang, keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju dengan idea itu dan sepakat mengadakan majlis secara maya.

"Majlis pertunangan ini sepatutnya diadakan seminggu sebelum Ramadan lalu tetapi terpaksa ditunda kerana larangan menganjurkan acara keraian dan kini PKPD pula.

"Entah bila majlis pertunangan kami akan diadakan jika terus ditangguhkan dan memandangkan barangan hantaran sudah dibeli, maka kami sepakat meneruskan majlis pada hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Nabil yang bekerja sebagai eksekutif akaun berkata, jika tiada halangan, majlis pernikahan akan diadakan pada tarikh ulang tahun kelahirannya iaitu 15 Oktober ini.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya perancangan kerana tarikh sebenar adalah mengikut ketetapan oleh pejabat agama.

"Diikutkan, saya dan tunang sudah bersedia dan sudah membeli semua kelengkapan termasuk pakaian untuk majlis pernikahan nanti.

"Kini, kami hanya menunggu hari pernikahan dan berdoa agar semuanya dapat dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, Anis Zulaikha pula berkata, dia tidak menjangka akan mengikat tali pertunangan dalam tempoh pandemik.

Bagaimanapun, anak sulung daripada tujuh beradik itu lega kerana semuanya berjalan lancar dengan bantuan keluarga dan rakan terdekat yang menjadi rujukannya.

"Syukur, semuanya selesai dan saya bukan keseorangan kerana emak banyak membantu, kalau tidak agak kelam-kabut juga kerana ia adalah perancangan saat akhir serta kali pertama mengadakannya.

"Saya ada juga dapatkan pandangan daripada rakan yang mempunyai pengalaman menganjurkan majlis pertunangan bagi mengetahui apa persediaan perlu dilakukan.

"Barang hantaran pula tiada masalah kerana sebahagiannya sudah dibeli lebih awal, manakala yang lain dipesan secara dalam talian saja," katanya yang bekerja sebagai eksekutif sumber manusia.

Majis pertunangan itu menyaksikan Mohamad Nabil menghadiahkan tujuh dulang hantaran yang dibalas sembilan dulang oleh Anis Zulaikha dengan masing-masing memberi pakaian, barangan keperluan serta manisan.

Anis Zulaikha turut menerima cincin sebagai tanda pertunangan daripada Mohamad Nabil yang disarung oleh ibunya sendiri, Datin Seri Rozila Ramli, 49.

Walaupun diadakan secara maya, ia tetap meriah apabila bapa Anis Zulaikha, Datuk Seri Mohd Yussoff Mansor, 62, turut berpantun di majlis itu.

Sementara itu, bapa Mohamad Nabil, Kamal Ariffin Kamuzzaman, 55, memimpin bacaan doa dengan isterinya, Noorbadariah Shahbudin, 49, berada di sisi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 4:11 PM