GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Aktiviti permainan dalam talian mencetuskan kluster baharu Covid-19 di Sabah yang membabitkan ahli keluarga dan rakan sekerja di Mukim Lumadan, Beaufort, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Lumadan itu dipercayai tercetus disebabkan kegagalan mengamalkan penjarakan fizikal ketika bermain secara berkumpulan.

Katanya, kes indeks adalah remaja lelaki berusia 19 tahun yang disahkan positif Covid-19 melalui ujian RTK Antigen di klinik swasta di pekan Beaufort, pada 29 Jun lalu.

"Lelaki berkenaan bergejala demam dan batuk sejak 24 Jun lalu. Hasil saringan kontak rapat, sembilan ahli keluarga dan jiran kes indeks turut didapati positif Covid-19.

"Berdasarkan siasatan, kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal ketika bermain permainan secara dalam talian atau 'online gaming' menjadi punca penularan," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kluster itu merekodkan 46 kes positif Covid-19 sejak dikesan pada 29 Jun lalu termasuk dua kes baharu yang dilaporkan hari ini daripada 110 saringan yang dijalankan.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu turut dilaporkan di Sandakan hari ini yang membabitkan kes penularan Covid-19 dlam kalangan komuniti di Kampung Istimewa, Sandakan.

Masidi berkata, ini kali kedua kampung yang sama menjadi kluster Covid-19 di daerah Sandakan selepas kali pertama dilaporkan pada 14 November tahun lalu.

Beliau berkata, Kluster Istimewa Dua itu tercetus selepas kes indeks iaitu seorang lelaki berusia 48 tahun dikesan positif Covid-19 ketika menjalani saringan bergejala di Klinik Kesihatan Sandakan pada 25 Jun lalu.

"Saringan yang dijalankan terhadap 261 kontak mendapati 27 orang disahkan positif termasuk dua kes baharu, manakala seramai 229 orang didapati negatif dan lima orang lagi masih menunggu keputusan ujian," katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan sebanyak 279 ke baharu positif Covid-19 dengan tiga kematian, masing-masing satu kematian di daerah Semporna, Lahad Datu dan Beaufort, manakala seramai 203 pesakit dilaporkan sembuh.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 10:55 PM