GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang wanita warga emas yang mempunyai sejarah perjalanan merentas daerah untuk mendapatkan rawatan kesihatan mencetuskan kluster baharu berkaitan jangkitan dalam komuniti di Sabah, semalam.

Kes indeks Kluster Sangkabok di daerah Kuala Penyu yang berusia 62 tahun itu dilaporkan pernah berulang alik ke daerah Beaufort bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata wanita berkenaan dikesan positif Covid-19 selepas menjalani saringan bergejala di sebuah klinik swasta pada 16 Julai lalu.

"Kluster Sangkabok di daerah Kuala Penyu itu adalah kluster jenis komuniti yang menular di Kampung Sangkabok dan Tanjung Aru, Kuala Penyu.

"Berdasarkan maklumat, kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke daerah Beaufort untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

"Saringan kontak rapat dan kontak sosial setakat ini, mencatat jumlah kumulatif 33 kes termasuk empat kes baharu," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sabah mencatat 1,010 kes baharu positif Covid-19 dengan 12 kematian, empat kematian di Kota Kinabalu, masing-masing tiga di Sandakan dan Tawau serta masing-masing satu kes di Tuaran dan Putatan, semalam.

Dalam pada itu, seramai 699 pesakit dilaporkan sembuh, manakala seramai 4,474 pesakit sedang menerima rawatan dengan 67.94 peratus penggunaan katil daripada 6,573 unit katil untuk pesakit Covid-19 di Sabah ketika ini.

Masidi berkata, saringan kontak rapat masih menjadi penyumbang tertinggi dengan 527 kes atau 52.18 peratus daripada jumlah kes harian.

Bagaimanapun, katanya individu bergejala turut menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 224 kes dikesan atau 22.18 peratus daripada jumlah kes harian yang dikaitkan dengan jangkitan sporadik atau tidak diketahui punca.

Sementara itu, beliau berkata bayi dan kanak-kanak menjadi golongan kedua paling ramai dijangkiti Covid-19 semalam iaitu seramai 282 kes.

Daripada jumlah itu, katanya 186 kes membabitkan individu berusia enam tahun hingga 17 tahun, diikuti kanak-kanak berusia setahun hingga lima tahun (84 kes) dan bayi berumur di bawah setahun (12 kes).

"Golongan berusia 18 tahun hingga 59 tahun adalah yang paling ramai dijangkiti iaitu seramai 656 orang, diikuti warga emas berumur 60 tahun ke atas sebanyak 72 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 8:32 AM