GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
zwan Abdullah

[email protected],my

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kluster baharu Covid-19 membabitkan komuniti nelayan sebuah kampung di Pitas yang dipercayai merebak menerusi pergerakan penduduk dan peraih merentas daerah untuk menjual ikan.

Kluster Tanjung Pitas itu yang dilaporkan di Mukim Mapan-Mapan, semalam, tercetus selepas seorang suri rumah berumur 26 tahun dari Kampung Naruntung, dikesan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala di Hospital Pitas, pada 27 Jun lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, berikutan kes itu, Pejabat Kesihatan Daerah Pitas kemudian mengesan 20 lagi kes positif Covid-19 hasil saringan kontak yang dijalankan.

"Jumlah itu termasuk tiga kes positif yang direkodkan di Makmal Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Pitas hasil saringan kontak serumah, pada 28 Jun. Seorang daripadanya adalah suami kepada kes indeks yang bekerja sebagai nelayan dan menjual ikan di Kampung Taritipan, Kota Marudu.

"Turut dikesan ialah satu kes positif Covid-19 hasil saringan komuniti di Kampung Naruntung pada 29 Jun dan 16 kes lagi dikesan positif dalam kalangan penduduk kampung berkenaan pada 30 Jun. Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 43 kes termasuk 22 kes yang dicatatkan semalam," katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Masidi berkata, berdasarkan siasatan, ada dua kemungkinan yang menjadi punca jangkitan iaitu pergerakan penduduk kampung ke Pulau Banggi, Kudat sepanjang Mei dan Jun lalu, serta pergerakan peraih ikan dari Kampung Naruntung yang menjual ikan di sekitar Pitas dan Kota Marudu.

Sementara itu, Sabah mencatat 230 kes baharu positif Covid-19, semalam dengan lima kematian, iaitu dua di daerah Lahad Datu, manakala masing-masing satu kematian di Kunak, Sandakan dan Kudat.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata catatan kes yang agak tinggi itu disebabkan saringan bersasar dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Landung Ayang, Kudat yang mencatat 60 kes.

"Ia menyebabkan daerah Kudat mencatat kes positif Covid-19 tertinggi pada dengan jumlah 69 kes, diikuti Kota Belud dengan 28 kes dan Pitas sebanyak 22 kes," katanya.

Dalam pada itu, katanya daerah Kota Kinabalu yang mencatat kes yang tinggi sejak beberapa hari lalu, hanya merekodkan 16 kes baharu pada semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 8:17 AM