Habsah Bibi bersama-sama anaknya. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Habsah Bibi bersama-sama anaknya. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Bimbang anak-anaknya kehilangan tempat berteduh, ibu tunggal empat anak nekad menggantung bendera putih di hadapan rumahnya di Taman Seri Mangga, di sini, semalam.

Menurut Habsah Bibi Abdullah, 32, berkata, dia kini buntu apabila memikirkan sewa rumahnya kini sudah tertunggak dua bulan dan perlu menjelaskan dalam kadar segera.

Katanya, dia yang sebelum ini mengambil upah mengemas rumah mula terjejas pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya memang buntu memikirkan cara untuk langsaikan tunggakan sewa, duit yang ada kini cukup untuk belanja makan anak-anak menyebabkan saya menguatkan diri ambil lampin anak dan jadikan bendera putih, semalam.

"Tunggakan sewa RM1,100 itu satu jumlah yang banyak untuk dikumpul dalam tempoh yang singkat. Anak-anak masih kecil tidak sanggup untuk melihat mereka dibawa tanpa arah tujuan," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Ibu kepada anak berusia tiga hingga 10 tahun itu berkata, dia menggantung bendera putih itu dengan harapan dapat mencari penyelesaian menjelaskan tunggakan sewa rumah.

"Alhamdulillah makan untuk anak-anak masih cukup, jiran dan beberapa pihak ada membantu termasuk menerima bantuan makanan bulanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tetapi yang merisaukan saya adalah tunggakan sewa rumah.

"Saya bukan tidak berusaha dan hanya mengharapkan bantuan tetapi tidak terdaya lagi malah dalam tempoh PKP ini saya ada berniaga cendol dan kuih sebagai punca pendapatan," katanya yang sudah tinggal menyewa di situ sejak enam tahun lalu.

Ujarnya, dia bukan bersikap memilih apabila terpaksa menolak cadangan untuk berpindah ke rumah pangsa berdekatan tetapi tindakan itu kerana memikirkan keselamatan anak-anaknya yang masih kecil selain anak sulungnya menghidap disleksia.

"Dalam usia begini anak-anak sedang aktif jadi saya khuatir keselamatan mereka, apatah lagi ada masanya anak sulung akan tantrum ditambah lagi saya serta anak kedua mempunyai asma.

"Pada PKP tahun lalu saya juga berdepan tunggakan sewa rumah tetapi dibantu oleh pihak surau. Saya tidak sesekali menyalahkan pemilik rumah kerana dalam keadaan sekarang dia juga memerlukan duit," katanya yang turut menjaga seorang kakak orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:18 PM