Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Lebih 600 daripada 2,334 penghuni Pangsapuri Sri Ayu, Hulu Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sudah menjalani ujian saringan Covid-19 setakat hari ini.

Pegawai Daerah Hulu Langat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain berkata, pangsapuri itu didiami pekerja wanita yang mana 2,229 adalah bukan warga negara manakala selebihnya warga negara.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD di pangsapuri itu bermula 30 Jun lalu sehingga jam 11.59 malam 13 Julai ini.

"Penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu dan mereka juga tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD.

"Majikan diminta mengambil maklum perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan objektif PKPD dilaksanakan dapat dicapai sepenuhnya," katanya pada sidang media di Bilik Bunga Raya, Pejabat Tanah dan Daerah Raya, di sini, hari ini.

ANGGOTA tentera memasang kawat duri ketika pelaksanaan PKPD di Pangsapuri Sri Ayu. FOTO Zulfadhli Zulkifli
ANGGOTA tentera memasang kawat duri ketika pelaksanaan PKPD di Pangsapuri Sri Ayu. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Najmuddin berkata, majikan bertanggungjawab menyediakan bekalan makanan secukupnya dan keperluan asas lain penjagaan wanita bagi pekerja masing-masing yang berada di dalam kawasan PKPD.

"Sebarang bentuk bantuan kepada penghuni PKPD akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

"Bagi mereka yang didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) swasta di mana kos akan ditanggung majikan," katanya.

Sementara itu mengenai PKPD di Hulu Langat, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dalam mesyuarat bersama Menteri Besar Selangor terlebih dulu malam ini mengenai pelaksanaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 1:54 PM