GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Ketegasan pendirian kerajaan apabila tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, bisksual dan transeksual (LGBT) adalah tepat dan wajar dipuji.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, perkara itu dinyatakan berulang kali beberapa pemimpin kerajaan termasuk mereka yang pernah memegang kuasa pemerintahan negara.

Katanya, hampir keseluruhan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia menyokong penuh pendirian tegas kerajaan membabitkan isu LGBT.

"Semua orang yang waras dan normal memahami tentang keburukan gaya hidup songsang ini yang tidak diragui lagi mampu menggugat kestabilan negara serta menghancurkan kerukunan hidup rakyat pada masa hadapan.

"Dalam usaha mencari penyelesaian yang tuntas bagi fenomena songsang ini, pelbagai pandangan dan cadangan sudah dikemukakan beberapa pihak termasuk ahli politik, tokoh pendidikan, pakar psikologi dan agamawan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bahawa Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya tidak mengiktiraf golongan LGBT.

Wan Mohd Salim berkata, secara peribadi beliau lebih yakin cara paling berkesan bagi menangani masalah itu adalah menerusi pendidikan sama ada formal atau tidak formal.

Katanya, ibu bapa dan pendidik diharap mampu melaksanakan peranan masing-masing bagi mendidik kanak-kanak sejak seawal usia dari sudut pembentukan sikap dan pemikiran yang betul mengenai seks.

"Selain itu, perlu didedahkan cara yang normal bagi melayani kehendak naluri manusia supaya tidak berlaku penyelewengan yang tidak diingini.

"Di peringkat pengajian tinggi, mungkin wajar disemak semula kurikulum digunakan dalam memastikan kandungannya tiada elemen negatif yang boleh mempengaruhi minda pelajar atau mendorong mereka ke arah melakukan tindakan menyeleweng daripada lunas agama dan kebaikan nilai moral, " katanya.

Katanya, mana-mana pihak yang menyokong agenda LGBT diminta berhenti berbuat demikian kerana perjuangan mereka hanya sia-sia disebabkan Malaysia adalah sebuah negara Islam, menjunjung ajaran agama dan nilai akhlak murni.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 7:00 PM