Gambar hiasan. Arkib NSTP.
Gambar hiasan. Arkib NSTP.
Amir Abd Hamid


DEWAN Rakyat, hari ini diberitahu bahawa kurang 20 peratus kawasan di negara ini yang mempunyai capaian internet lemah atau dikategorikan merah di luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, antara masalah ialah ada kawasan itu yang berlaku vandalism termasuk kabel gentian optik dikorek dan dicuri.

Ahli Parlimen Padang Besar itu menjelaskan kecurian juga membabitkan 'genset' (set penjana tenaga) yang digunakan di sesetengah menara telekomunikasi.

"Untuk pengetahuan Yang Berhormat, kita lihat tidak sampai 20 peratus kawasan yang berstatus merah untuk kawasan luar bandar, bagaimanapun terdapat kawasan alami vandalism, contohnya gentian optik yang dikorek. Kawasan itu dulunya ada liputan tetapi tiba-tiba liputan hilang.

"Terdapat pihak tertentu yang korek (semula) gentian optik itu atau pun tembaga berkenaan, mereka mencuri. Atau pun genset, sesetengah menara kita gunakan genset untuk bekalan tenaga elektrik dan sebagainya turut dicuri. Tiba-tiba tiada line (liputan). Ini perkara yang masih kita atasi," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan M Karupaiya (PH-Padang Serai) pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang ingin tahu jumlah kawasan dalam kategori lemah atau merah dalam capaian internet di Malaysia.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Sabri Azit (Pas-Jerai) berkenaan sejauh mana status Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion, Zahidi berkata, pelan itu sedang dalam peringkat untuk dilaksanakan.

"Ada projek NFCP 2 dan NFCP 3 yang membabitkan peruntukan yang agak besar dan sekarang ini tendernya sedang dikeluarkan.

"Untuk liputan luar bandar, kita sedang mengadakan Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) bermula 13 Julai hingga 14 Ogos untuk menetapkan semula sasaran berkaitan infrastruktur digital negara.

"Ini untuk kawasan yang kita dapat mengadakan perkhidmatan jalur lebar lebih baik dan teknologi yang kita cadangkan bersesuaian dengan projek NFCP 2 dan NFCP 3," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 11:54 AM