PETUGAS Kesihatan Daerah Kuantan ketika membuat proses saringan ke atas penduduk Kuantan berikutan terdapat peningkatan bilangan kes positif Covid-19 yang membabitkan beberapa kluster ketika tinjauan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek. FOTO Farizul Hafiz Awang
PETUGAS Kesihatan Daerah Kuantan ketika membuat proses saringan ke atas penduduk Kuantan berikutan terdapat peningkatan bilangan kes positif Covid-19 yang membabitkan beberapa kluster ketika tinjauan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek. FOTO Farizul Hafiz Awang
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Tempoh dua minggu pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula esok adalah tempoh kritikal buat Malaysia bagi memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh.

Setiap hari melalui media sosial rasminya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu supaya rakyat Malaysia kekal berada di rumah jika tidak mempunyai urusan penting di luar menunjukkan petanda negara boleh berada dalam ambang bencana teruk.

Berdasarkan unjuran dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM), negara boleh mencatatkan 13,000 kes pada 14 Jun depan sekiranya SPP tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun KKM memerlukan data harian purata tujuh hari dari 1 hingga 7 Jun ini bagi mendapatkan unjuran berkenaan.

Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, tempoh dua minggu ini sangat penting buat sistem kesihatan negara.

"Jika tidak, kita akan menghadapi bencana besar dan bukan wabak lagi kerana kadar kematian sangat tinggi ketika ini.

"Kita berharap tempoh 14 hari ini tiada pergerakan dan perhimpunan bagi menghapuskan virus ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan kajian, nisbah jangkitan kini 250:1 iaitu setiap 250 orang pasti seorang disahkan positif virus Covid-19.

"Konsepnya senang, setiap yang bergerak akan membawa virus iaitu nisbahnya setiap 250 orang, seorang akan positif.

"Jika ada 250 orang dalam satu bangunan seperti kondominium, flat atau pangsapuri, pasti akan ada seorang yang positif.

"Kita tidak tahu siapa positif dan apabila ada pergerakan, pastinya virus ini akan merebak dengan cepat," katanya.

Dr Sazaly berkata, seorang pesakit Covid-19 mempunyai lebih satu juta virus itu dalam badannya.

"Seseorang yang dijangkiti Covid-19 apabila dia menjilat bibirnya sahaja, bermakna di bibirnya sudah ada lebih satu juta virus ini, bayangkan kalau dia cium anak atau orang kesayangan, dia sudah memindahkan virus berkenaan.

"Untuk menyebabkan jangkitan, hanya 1,000 virus sahaja cukup untuk individu berkenaan positif Covid-19," katanya.

Sehingga semalam, negara mencatatkan 2,792 kematian akibat Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 2:41 PM