HALIMAH Mohamed Sadique. FOTO arkib NSTP
HALIMAH Mohamed Sadique. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pengamalan pembudayaan dan nilai murni dalam kehidupan masyarakat, hari ini sewajarnya diperkukuhkan lagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Perpaduan, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique berkata, perpaduan antara masyarakat dapat dilihat ketika penganut agama lain dapat menyambut perayaan masing-masing dalam aman dan harmoni.

"Bagi penganut agama Buddha, Hari Wesak adalah sambutan yang amat penting dan bermakna.

"Perayaan ini disambut dengan aman dan harmoni, selaras dengan amalan kebebasan beragama yang menjadi lambang perpaduan negara.

"Ia sewajarnya diperkukuhkan ketika negara sedang berhadapan dengan Covid-19, justeru marilah kita bersama-sama bersatu hati memerangi virus ini tanpa garis pemisah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Halimah turut meminta masyarakat memanfaatkan peluang dan kesempatan untuk menjiwai erti perpaduan sebenar.

Beliau turut berharap rakyat di negara ini tidak leka dan alpa untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan supaya negara pulih daripada Covid-19.

Selain itu, Halimah dan warga kementeriannya mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada penganut agama Buddha di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 10:23 AM