RUANG pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh yang dijadikan sebagai ICU Covid-19 dalam gambar dikongsi di Facebook Dr Noor Hisham pada 2 Mei 2021.
RUANG pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh yang dijadikan sebagai ICU Covid-19 dalam gambar dikongsi di Facebook Dr Noor Hisham pada 2 Mei 2021.
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Sistem kesihatan negara berhadapan tekanan besar termasuk penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara mencecah tahap 83 peratus setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri yang mencatat kadar penggunaan tinggi antaranya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah.

Beliau berkata, turut mencatat penggunaan melebihi 70 peratus termasuk Putrajaya, Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

"Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya menerusi Twitter hari ini.

Dr Noor Hisham turut menggesa majikan memberi kebenaran kepada kakitangan untuk bekerja dari rumah selain mengehadkan bilangan mereka ke pejabat pada satu-satu masa.

Sementara itu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan jumlah pemberian vaksinasi Covid-19 harian bagi Mei merekodkan angka tertinggi dengan 83,648 dos kelmarin.

Menerusi infografik dikongsikan di Twitter rasmi JKJAV, jumlah itu membabitkan angka bagi individu yang sudah melengkapkan suntikan dua dos iaitu 33,926, manakala suntikan satu dos ialah 49,722.

"Jumlah ini akan meningkat apabila lebih banyak bekalan vaksin diterima nanti," katanya menerusi Twitter malam tadi.

Sebanyak 6,806 kes baharu dan 59 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam, tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik menular dalam negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,967 kes atau 43 peratus dilaporkan di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 12:22 PM