SITI Khodijah meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala. FOTO ihsan keluarga
SITI Khodijah meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala. FOTO ihsan keluarga
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Polis sedang menunggu laporan dari Jabatan Kimia untuk mengetahui punca sebenar kematian Siti Khodijah Ab Manaf, 32, yang meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, bedah siasat dilakukan lebih dua jam bermula 11 pagi hingga 2.30 petang di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, punca kematian mangsa setakat ini belum dapat dipastikan lagi dan perlu mendapatkan analisis makmal.

"Setakat ini, percakapan doktor sudah dirakam dan mengesahkan tidak ada kesan kecederaan baru atau lama akibat dipukul pada anggota badan wanita itu.

"Malah, pemeriksaan juga mendapati tiada kecederaan serius pada bahagian anggota badan lain namun hanya kesan lebam akibat jarum dari rawatan memasukkan ubat-ubatan pada badannya, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, pemeriksaan pada paru-paru mangsa pula terdapat kesan jangkitan kuman yang serius akibat dari rawatan memasukkan tiub ketika pembedahan di dijalankan.

Selain itu katanya, mangsa juga turut menghidap penyakit jenis SLE di mana tekanan darah boleh naik ke bahagian kepala yang boleh menyebabkan saluran darah pecah.

"Doktor akan memberi laporan penuh selepas selesai sampel dianalisa dari makmal.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, empat anak Siti Khodijah merindui ibu mereka dan mengharapkan arwah pulang ke rumah untuk menyambut Aidilfitri.

Namun, wanita itu meninggal dunia pada jam 2.50 pagi semalam ketika masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum dihantar ke HSB di Alor Setar untuk dibedah siasat.

Mangsa meninggalkan empat anak berusia dua hingga lapan tahun yang kini dijaga nenek mereka di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir, di sini.

Berita berkaitan

Pergi tinggalkan anak-anak selepas bertarung nyawa

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 5:22 PM