GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sudah lumrah sifat manusia, semakin ditegah, semakin mahu melakukannya terutama dalam keadaan tertekan.

Mengambil kira itu, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Zulfikar Ahmad berkata, tidak ganjil apabila ada segelintir pihak yang tetap mencuba nasib melakukan rentas negeri untuk bersama keluarga meskipun seluruh negara dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, tekanan yang dialami mengakibatkan seseorang individu tidak mampu lagi berfikir secara rasional dan cenderung bertindak di luar kawalan termasuk membuat perkara yang ditegah.

"Memang naluri dan keinginan manusia, kalau kita cakap jangan, lagi dia buat, apatah lagi dalam keadaan sekarang ramai orang sudah sampai tahap marah, bengang serta keliru dengan situasi semasa kes Covid- 19 negara.

"Malah, kita melihat memang terdapat peningkatan kes kegelisahan dan kemurungan sejak pandemik bermula tahun lalu.

"Ini terjadi kerana individu (yang terkesan) tidak tahu apa hendak dijangka hingga menyebabkan ramai orang bertindak di luar jangkaan, misalnya cubaan merentas negeri dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal walaupun sudah dilarang," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau mengulas sikap segelintir individu yang masih degil dengan cuba merentas negeri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut Dr Zukifar berkata, tindakan luar kawal juga disumbang maklumat yang kerap dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab dan dimuat naik di media sosial, selain situasi gelombang ketiga Covid-19 yang sukar diramal.

Katanya, terdapat individu yang menganggap peraturan yang berubah-ubah khususnya berkenaan Aidilfitri sebagai meletihkan emosi, menjadikan mereka tidak berfikir dengan rasional atau wujud sifat pentingkan diri.

"Apatah lagi orang Malaysia ini berpegang teguh kepada nilai dan tradisi turun temurun (menyambut perayaan), walaupun mereka ada kefahaman berkenaan larangan yang telah dikeluarkan, tetapi hendak menerapkan norma baharu dalam budaya ini memang memerlukan masa," katanya.

Berikutan itu, beliau mencadangkan kerajaan supaya mengambil tindakan dengan mempersiapkan rakyat untuk memahaminya berdasarkan tujuan sama ada mendidik, mencegah atau mengawal.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 5:52 PM