GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Seramai 717 individu ditahan polis semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 235 individu daripada mereka ditahan kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal manakala 117 orang (tidak memakai pelitup muka), 96 orang (merentas daerah dan negeri), 73 orang (premis beroperasi lebih masa), 68 orang (gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan) dan 128 orang (lain-lain kesalahan).

Menurutnya, 642 orang daripada kesemua individu yang ditahan dikompaun manakala 74 individu lagi direman dan seorang dijamin.

"Sebanyak 49,620 pemeriksaan dijalankan menerusi Task Force diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

"Operasi itu dijalankan 2,761 pasukan pematuhan membabitkan 12,673 anggota yang membuat pemantauan di 3,624 pasar raya, 4,919 restoran, 1,798 penjaja, 1,358 kilang, 3,115 bank dan 650 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau 999 terminal pengangkutan darat, 250 terminal pengangkutan air dan 92 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, seramai 18 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) semalam selain 10 kenderaan berat darat dirampas manakala 115 bot dan kapal dikesan berada di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

"Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia dan agensi keselamatan lain.

"Sebanyak 518 sekatan jalan raya dijalankan dengan 462 daripadanya menerusi Op Penawar membabitkan ATM, PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:52 PM