MAYAT mangsa ditemui terapung di dalam longkang. FOTO Melvin Joni
MAYAT mangsa ditemui terapung di dalam longkang. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Lawas: Akibat sering mengganggu malah mengajak isteri rakannya bersetubuh, lelaki warganegara Indonesia dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam longkang di kawasan ladang sawit di Kampung Siang Siang Laut, di sini.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Roslan Leman berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Imran, 40-an, ditemui orang awam, 9.30 pagi Rabu lalu.

Katanya, siasatan lanjut mengesan dan menangkap suspek yang juga rakan senegara mangsa berusia 32 tahun di kuarters Ladang Trusan, Kumpulan Kris Jati, Jalan Sundar di sini, 12.10 tengah hari Rabu lalu.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku bergaduh dengan mangsa pada Isnin (26 April) lalu berpunca daripada mangsa selalu mengganggu sehingga kali terakhir mengajak isterinya bersetubuh.

"Suspek mengaku bertindak seorang diri dengan bersenjatakan tombak sawit untuk menikam mangsa sehingga mati, kemudian membalut mayat menggunakan kanvas, memikul mayat seorang diri dan membuangnya ke lokasi penemuan mayat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, beliau berkata, lokasi sebenar pergaduhan sedang dikenal pasti.

Katanya, pemeriksaan pada mayat mangsa mendapatinya kesan-kesan tetakan di dahi, telinga, leher, belakang badan, lutut kiri dan pergelangan tangan putus.

Roslan berkata, suspek dan mangsa juga pendatang asing tanpa izin (Pati).

Katanya suspek datang ke Malaysia kira-kira enam bulan lalu melalui jalan tikus Sindumin, Sabah-Lawas membawa bersama dua anaknya berusia 2 dan 6 tahun serta isterinya.

Beliau berkata, suspek juga tidak bekerja selepas diberhentikan daripada Ladang Sawit Tradewind, Jalan Trusan dan sedang mencari pekerjaan baru.

Roslan berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 10:21 AM