FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Peniaga makanan sekitar bandar raya ini mula merasai tekanan akibat kenaikan harga bawang yang menjadi bahan asas utama masakan, sejak minggu lalu.

Pengusaha restoran, Che Mat karim, 46, berkata, harga bawang besar naik kepada RM4.50 sekilogram berbanding kira-kira RM3 sebelum ini.

"Selain itu bawang putih juga naik. Sebelum ini saya beli bawang putih yang siap dikupas pada harga tidak sampai RM30 bagi lima kilogram (kg), tetapi sekarang bawang putih naik kepada RM32.50 untuk berat sama.

"Apabila harga bawang naik, kami terpaksa naikkan sedikit harga makanan, contohnya air asam cicah saya jual RM1 setiap dua senduk, tetapi terpaksa jual RM1 bagi satu senduk.

"Ada pelanggan pertikai kenapa terlalu mahal, tetapi mereka tak tahu yang saya terpaksa tanggung kos yang tinggi untuk membeli bawang dan barangan lain," katanya yang sudah 15 tahun berniaga di Jalan Langgar di sini.

Che Mat mendakwa keadaan itu seolah trend apabila harga bawang meningkat menjelang Ramadan atau cuti sekolah.

Disebabkan harga melampau, dia juga tidak lagi menggunakan bawang merah yang jauh lebih mahal daripada bawang besar iaitu cecah RM10 sekilogram.

Pendapat sama turut disuarakan Cik Nang Shahid, 62, yang memberitahu pendapatan bersihnya merosot disebabkan kenaikan harga bawang.

"Setiap hari saya guna 6 kg bawang besar dan setiap kilogram harganya RM4.50, manakala bawang merah sekilogram RM10 dan bawang putih pula RM12 sekilogram.

"Jika tak guna bawang yang banyak, makanan akan rasa kurang sedap, jadi saya tiada pilihan terpaksa mengekalkan harga makanan yang sama kerana mahu menjaga pelanggan.

"Saya harap kerajaan pantau perkara ini, kenapa ia naik setiap kali menjelang Ramadan dan musim cuti sekolah, mesti ada masalah di mana-mana," katanya yang berniaga lebih 10 tahun di Jalan Pegawai di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:21 PM