FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

WARGA emas yang cuba melanggar anggota polis sedang bertugas dalam sekatan jalan raya, minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini atas empat pertuduhan termasuk memandu secara melulu dan berada di bawah pengaruh alkohol.

Tertuduh, Lim Seong Joo, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Azzuin Abd Moati.

Dia didakwa dengan sengaja tidak memberhentikan kereta untuk diperiksa oleh dua anggota polis iaitu Lans Koperal Mohd Shafizan Abd Samad dan Lans Koperal Muhamad Azaman Mat Saad yang sedang menjalankan tugas dalam Ops Mabuk.

Lim didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengeluarkan perkataan kesat terhadap Asisten Superintendan Abdul Halim Harun, yang bertujuan mengaibkan pegawai polis itu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa memandu secara berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM15,000 bagi sabitan pertama, manakala bagi sabitan kedua dan seterusnya, berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Solok Bayan Indah, Queensbay, Bayan Lepas pada 10.30 malam 30 Mei lalu.

Lim turut berdepan pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Persiaran Bayan Indah, Balik Pulau pada 11.45 malam 30 Mei lepas mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM6,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandunya digantung.

Peguam Datin A Punithawathi yang mewakili Lim pula memohon jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan tertuduh dan isterinya sudah bersara.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah manakala lesen memandu Lim digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 13 Julai ini untuk pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 5:47 PM