GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas rentas daerah dalam negeri dibenarkan kecuali Sabah bermula Jumaat ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau amat berharap orang ramai sentiasa berwaspada dan mematuhi penjarakan fizikal bagi mengelak penularan Covid-19.

Menurutnya, penularan pandemik itu boleh berlaku semula bila-bila masa dan di mana-mana sahaja jika orang ramai masih cuai.

"Akibatnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada pilihan kecuali memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula.

"Saya juga menyeru ibu bapa yang menunggu anak-anak mereka di sekolah supaya tidak berkumpul rapat-rapat sehingga melanggar SOP," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan rentas daerah dalam negeri dibenarkan kecuali di Sabah bermula Jumaat ini, manakala rentas negeri kekal tidak dibenarkan.

Kerajaan turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di tujuh negeri sehingga 18 Mac depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, negeri terbabit adalah Perlis, Terengganu, Pahang, Putrajaya, Labuan, Sabah dan Melaka.

Sementara, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan.

Manakala PKPB di Sarawak bermula semalam sehingga 15 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 4:32 PM