GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Syarikat Bertujuan Khas, Digital Nasional Berhad (DNB) akan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) untuk melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ia bermakna DNB tertakluk kepada kawal selia SKMM walaupun entiti berkenaan dimiliki sepenuhnya kerajaan.

"SKMM akan mengawal selia dan memantau DNB melalui instrumen kawal selia yang relevan di bawah AKM 1998 bagi memastikan antaranya penggunaan spektrum secara optimum dan supaya syarikat telekomunikasi dapat memperoleh capaian terbuka, saksama dan adil kepada perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk penyediaan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G.

"Matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital menerusi pengumuman MyDigital baru-baru ini memerlukan usaha yang mantap, berdaya tahan dan pantas oleh semua pihak sambil mematuhi kepada peraturan dan governans yang betul," kata kenyataan itu.

Katanya, dengan membebaskan syarikat telekomunikasi sedia ada daripada keperluan melabur untuk membina infrastruktur 5G, usaha dan sumber syarikat ini boleh ditumpukan kepada langkah meningkat dan memperluaskan perkhidmatan 4G serta rangkaian gentian optik di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang begitu penting kepada pelaksanaan 5G.

"Ini pada masa yang sama dapat memastikan jurang digital dapat dikurangkan.

"DNB akan berperanan sebagai pihak borong berkecuali (neutral), yang membolehkan syarikat telekomunikasi untuk memberi tumpuan kepada teknologi terkini dalam membangunkan perkhidmatan runcit yang inovatif sebagai tawaran perkhidmatan kepada pengguna, perusahaan dan kerajaan," katanya.

Menurutnya, penawaran perkhidmatan secara borong oleh DNB akan dipantau secara rapi oleh SKMM berpandukan kepada peruntukan di bawah AKM 1998.

"Kepantasan dan penjimatan kos daripada pelaksanaan 5G boleh dipindahkan untuk memanfaatkan pengguna.

"Dalam mengawal selia pihak DNB, SKMM akan kekal fokus dalam usahanya untuk meningkat dan memperluaskan liputan kesalinghubungan digital serta merangsang pertumbuhan ekonomi baharu untuk negara menerusi peluang yang dipacu oleh 5G," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 3:59 PM