AHMAD (kiri) menyampaikan peranti pintar kepada pengetua dalam Parlimen Jasin sambil diperhatikan Pengarah Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad (tengah). FOTO Amir Mamat.
AHMAD (kiri) menyampaikan peranti pintar kepada pengetua dalam Parlimen Jasin sambil diperhatikan Pengarah Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad (tengah). FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Jasin: Seramai 130 pelajar Tingkatan Lima kurang berkemampuan dari 13 sekolah menengah dalam Parlimen Jasin, terpilih untuk menerima sumbangan peranti pintar bagi membolehkan mereka mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) 2.0 ketika ini.

Sumbangan peranti pintar beserta kad sim yang dilengkapi data 30 GB itu dibiayai Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah sebagai satu daripada kaedah pembelajaran sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka, bulan depan.

Sumbangan disampaikan Ahmad yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, kepada pengetua sekolah berkenaan pada majlis ringkas di Pejabat Pendidikan Daerah Jasin, di sini hari ini.

Ahmad berkata, setiap sekolah perlu memilih 10 pelajar dari keluarga B40 untuk menerima sumbangan, sekali gus memastikan mereka tidak tercicir daripada mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

"Kami rasa terpanggil untuk membantu dengan harapan mereka tidak ketinggalan untuk mengikuti pembelajaran di rumah.

"Saya harap sumbangan ini dapat digunakan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Umbai, Zulkifli Md Daud berkata, menerusi sumbangan itu, beliau yakin pelajar yang terpilih akan memanfaatkannya untuk persediaan mereka menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Alhamdulillah, dengan pemberian peranti ini saya berharap pelajar dapat menggunakannya untuk melaksanakan PdPR 2.0 yang sedang berlangsung ketika ini.

"Malah, saya yakin peranti itu dapat terus digunakan sehingga ke universiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 11:17 AM