ABDUL Fattah (tengah) menyerahkan sumbangan kit kesihatan berupa pelitup muka dan cecair sanitasi tangan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Damansara Damai 1, Tamil Selvi yang seterusnya akan diagihkan kepada calon SPM sekolahnya. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
ABDUL Fattah (tengah) menyerahkan sumbangan kit kesihatan berupa pelitup muka dan cecair sanitasi tangan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Damansara Damai 1, Tamil Selvi yang seterusnya akan diagihkan kepada calon SPM sekolahnya. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
Murnaena Muhammad Nasir

Petaling Jaya: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyumbang kit kesihatan kepada 5,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor.

Sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman berkenaan diserahkan kepada pengetua serta wakil 16 sekolah menengah terpilih negeri itu di Auditorium Angkasa, Wisma Ungku A Aziz di sini, hari ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu sebagai tanda sokongan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM Isnin ini.

"Program ini dilaksanakan selaras dengan prinsip ketujuh koperasi iaitu prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat," katanya ketika ditemui dalam Program Coopcare Angkasa Prihatin Covid-19 Sumbangan Kit Kesihatan Kepada Pelajar SPM itu.

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Murid Mhd Nazdri Tajudin, Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah.

Menurut Abdul Fattah, sumbangan kit kesihatan itu dibekalkan melalui Coop Farmasi iaitu jaringan perniagaan di bawah projek perniagaan Pharma Wellness dalam bidang farmasi runcit yang ditubuhkan sejak awal 2020.

"Sehingga Januari 2021, sebanyak tujuh cawangan Coop Farmasi dibuka sekitar semenanjung Malaysia dan Angkasa mensasarkan pembukaan 16 cawangan menjelang 2023.

"Bagi meningkatkan daya saing koperasi dalam sektor penjagaan kesihatan, Coop Farmasi juga kini boleh didapatkan di platform e-dagang, Lazada, Shopee dan Pandamart," katanya.

Katanya, sejak tahun lalu 38,602 golongan asnaf, B40, mangsa banjir dan petugas barisan hadapan berjaya disantuni menerusi 44 program CSR Covid-19 dengan peruntukkan RM1 juta.

"Peruntukan itu adalah hasil daripada sokongan Angkasa sebagai badan apeks (tunggal) gerakan koperasi negara yang bukan semata-mata mementingkan keuntungan tetapi juga menjaga kebajikan masyarakat.

"Secara keseluruhan Angkasa menyumbang RM2 juta dan separuh daripadanya disumbangkan ke Tabung Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 2:40 PM