BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan laut di Parit 3, Kampung Sungai Burong. FOTO Ihsan PGA
BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan laut di Parit 3, Kampung Sungai Burong. FOTO Ihsan PGA
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Polis menahan 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan laut di Parit 3, Kampung Sungai Burong, di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Superintendan Rizal Mohamed berkata, dalam kejadian 8.30 pagi itu, tangkapan membabitkan 10 lelaki dan sembilan perempuan berusia antara 19 hingga 49 tahun.

Beliau berkata, tangkapan dibuat pihaknya bersama anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

"Hasil siasatan lanjut, semua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot dan mendarat di pesisir pantai Kampung Sungai Burong," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Saya menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 8:11 PM