SARANG burung walit yang dirampas. FOTO ihsan Maqis
SARANG burung walit yang dirampas. FOTO ihsan Maqis
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 2.4 kilogram sarang burung walit yang cuba dibawa keluar ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, sarang burung walit berkenaan cuba dibawa keluar tanpa permit eksport yang sah.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori di laluan eksport dan menemui sarang burung walit di dalam dua kotak dianggarkan bernilai kira-kira RM13,200.

"Barang itu ditahan untuk tindakan lanjut sehingga siasatan selesai. Perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan semasa pemeriksaan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur Afifah berkata, dalam pemeriksaan berlainan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), pihaknya menahan cubaan membawa masuk 100 kilogram produk telur di laluan kargo import Maqis pada 9 Februari lalu.

Katanya, produk itu dipercayai datang dari Denmark melalui Singapura.

"Barang dagangan itu yang dianggarkan bernilai RM3,386.13 ditahan kerana tidak mematuhi syarat import iaitu gagal mengemukakan sijil kesihatan dari negara asal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 10:44 AM