BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu memberi keutamaan untuk mewujudkan sistem indemniti atau ganti rugi bagi membantu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap program imunisasi Covid-19 negara, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya, sistem indemniti itu boleh diperkenalkan dalam bentuk Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin.

"Sistem sebegitu akan meningkatkan lagi keyakinan orang ramai terhadap keselamatan vaksin sebagai langkah perlu meyakinkan mereka yang dipengaruhi oleh laporan negatif dalam media sosial.

"Ia juga penting untuk memastikan ketelusan dalam perolehan ubat-ubatan yang juga mesti berasaskan bukti... dan untuk memastikan manfaat maksimum terakru daripada proses imunisasi, mesti ada sistem disediakan untuk memastikan ketelusan dan mengelakkan pembaziran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) mempunyai peranan penting untuk dimainkan, iaitu ia mesti berdikari dan bebas membuat keputusan terbaik untuk rakyat dan negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dipetik berkata, kerajaan akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada akhir bulan ini, dengan 80 peratus penduduk negara ini atau kira-kira 26.5 juta orang akan menerima vaksin secara percuma.

Program imunisasi ini akan dijalankan dalam tiga fasa yang pertama membabitkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 4:34 PM