GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang vaksin kerana negara mempunyai kemampuan untuk menghasilkan vaksin sendiri, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, sejak Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) hingga RMK-12, terdapat lebih kurang 40 projek pembangunan vaksin diluluskan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Bagaimanapun, beliau berkata ketika ini, Malaysia belum lagi menghasilkan vaksin buatan sendiri sebaliknya masih bergantung kepada sumber dari negara luar.

"Malaysia mempunyai pakar yang boleh menghasilkan vaksin tetapi kita memerlukan lebih ramai pakar bidang vaksin, maka pembangunan bakat juga dititikberatkan, saya berharap lebih ramai generasi muda dipupuk minat mereka menjadi saintis vaksin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Lee berkata, penubuhan sebuah institut untuk menghasilkan vaksin Covid-19 buatan Malaysia dapat memudahkan kerajaan menyelaraskan kegiatan pembangunan dan penyelidikan (R&D) berkaitan genom serta vaksin.

Beliau berkata, institut itu yang akan dikenali sebagai Institut Genom dan Vaksin Malaysia dapat memudahkan kerajaan menyelaras semua aktiviti R&D berkaitan genom dan vaksin selain dapat menggembleng tenaga pakar berkaitan dengan lebih cekap.

"Saya mengalu-alukan langkah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba untuk membentangkan cadangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya satu institut ditubuhkan untuk menghasilkan vaksin Covid-19 buatan Malaysia," katanya.

Selain daripada membangunkan vaksin berkaitan Covid-19, institut itu turut menjalankan R&D dalam penghasilan vaksin bagi penyakit berbahaya lain seperti kanser, denggi, taun dan leptospirosis.

Lee berkata, proses penghasilan vaksin memerlukan kerjasama membabitkan kepakaran daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi, institut, pihak swasta serta Pertubuhan Masyarakat Sivil.

"Penubuhan institut ini akan membolehkan kita menghasilkan vaksin buatan Malaysia yang dikenali di peringkat global dan diiktiraf penggunaannya di serata dunia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:35 PM