RESTORAN Leezo yang lengang susulan larangan dine-in ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. FOTO ihsan Leezo Group
RESTORAN Leezo yang lengang susulan larangan dine-in ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. FOTO ihsan Leezo Group
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pengusaha restoran merayu supaya kerajaan membenarkan semula pelanggan untuk makan di dalam premis dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Rata-rata pengusaha mengeluh selepas pelanggan semakin berkurangan menyebabkan jualan menurun lebih 80 peratus apabila larangan dine-in dikuatkuasakan.

Berdasarkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), premis hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan bawa pulang.

Pengarah Urusan Leezo Group Sdn Bhd, Datuk Mohd Nadzuaan Nasir berkata, sukar baginya dan rakan pengusaha dalam industri sama untuk bertahan PKP 2.0 kali ini.

"Saya pengusaha restoran yang ada 15 premis dan satu 'central kitchen'. PKP 2.0 kali ini memang sangat 'struggle'. Bagi pihak rakan sama industri, kami tak tahu saluran mana untuk sampaikan rintihan kami.

"Keliru tengok keadaan sekarang PKP tidaklah seketat tahun lalu tetapi pengusaha sektor makanan dan minuman (F&B) antara paling teruk terjejas.

"Contohnya, jualan kami jatuh hingga 90 peratus walaupun pelbagai strategi sudah dibuat. Kami amat mengharapkan kerajaan longgarkan untuk dine-in walaupun dengan SOP ketat pun tak apa untuk kelangsungan perniagaan," katanya.

Menurutnya, walaupun 'sakit' namun pihaknya yang mempunyai kira-kira 200 pekerja di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor itu tetap mempertahankan rezeki kakitangan.

"Sehingga ke hari ini, kami masih mempertahankan kakitangan sepenuh masa namun apakan daya terpaksa merehatkan dulu pekerja sambilan," katanya.

Beliau berpandangan daripada sudut PKP 2.0 yang dilaksanakan sekarang, pelanggan lebih suka untuk beli oleh penjaja di luar atau jalanan berbanding restoran kerana memudahkan mereka dalam keadaan sibuk.

Katanya, sekiranya boleh dine-in, ramai pelanggan memilih makan dalam premis berbanding keadaan sekarang terpaksa makan di tepi jalan seperti 'rider' perkhidmatan penghantaran atau pekerja yang bukan bekerja di pejabat.

"Sehingga kini, saya masih pertahankan semua restoran. Kemungkinan besar jika PKP 2.0 dilanjutkan berpanjangan dengan larangan dine-in, akan ada beberapa restoran terpaksa diberhentikan operasi kerana komitmen seperti sewa dan penyelenggaraan premis serta bayaran gaji berjalan seperti biasa.

"Ramai rakan saya terpaksa menutup premis kerana tidak boleh menampung perbelanjaan. Anggaran kerugian saya alami tahun lalu adalah sekitar RM300,000 hingga RM400,000.

"Tahun ini, untuk Januari saja kerugian dianggarkan antara RM130,000 hingga RM150,000. PKP 2.0 yang diumumkan secara drastik menyebabkan banyak barang mentah terpaksa dibuang antaranya sayur-sayuran dan buah-buahan kerana tidak terjual," katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran Lomaq Coffee di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Shamsul Munir Safini berkata, ramai pengusaha restoran kecewa dengan larangan dine-in kerana mereka patuh kepada SOP.

RESTORAN Lomaq Coffee di Permatang Pauh, Pulau Pinang yang lengang susulan larangan dine-in ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. FOTO ihsan Lomaq Coffee
RESTORAN Lomaq Coffee di Permatang Pauh, Pulau Pinang yang lengang susulan larangan dine-in ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. FOTO ihsan Lomaq Coffee

Menurutnya, pihaknya bersedia mematuhi SOP ketat seperti untuk mengehadkan kemasukan pelanggan dan peraturan lain asalkan makan di restoran dibenarkan semula.

"Jualan saya menurun hingga 80 peratus. Apapun, semasa berlangsungnya PKP 2.0 ini kami di Lomaq Coffee bertungkus-lumus menata hias ruang makan baru.

"Ini supaya setiap pelanggan dikasihi akan lebih selesa datang bertandang menjamu selera khususnya seusai tamat semua malapetaka ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 6:44 PM