Datuk Syukri dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, memantau SJR di Plaza Tol Rawang Selatan.  FOTO Saifullizan Tamadi
Datuk Syukri dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, memantau SJR di Plaza Tol Rawang Selatan. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Rawang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima khemah utiliti yang tahan lasak bagi menggantikan khemah sedia ada di Sekatan Jalan Raya (SJR) pada tahun ini.

Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Syukri Abdullah berkata, khemah lengkap dengan penghawa dingin dan struktur yang lebih kukuh itu bertujuan melindungi dan memberi kemudahan kepada anggota ketika bertugas di SJR.

"Perkara ini (khemah) sudah dirancang bagi memastikan keselamatan anggota di SJR, ia sudah dimasukkan ke dalam bajet menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Kita sedang rancang, kalau ada bajet kita akan dapat perolehan. Setakat ini rasanya tiada halangan kerana ia membabitkan peruntukan daripada kerajaan," katanya ketika ditemui selepas melawat petugas-petugas melalui program Jeneral Turun Padang di SJR Plaza Tol Rawang Selatan di sini, hari ini.

Syukri berkata, khemah utiliti berkenaan sangat kukuh dengan spesifikasi kalis angin dan dilengkapi dengan penghawa dingin.

"Ia dijangka diterima pada tahun ini, ada beberapa sudah kita terima bulan lalu," katanya.

Terdahulu Syukri meninjau SJR di Plaza Tol Rawang Selatan bagi memberi semangat kepada petugas-petugas barisan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:05 PM