HASANUDDIN menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam sekatan jalan raya di Simpang Tiga Jerai, Kupang.FOTO Safuri Kamarudin
HASANUDDIN menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam sekatan jalan raya di Simpang Tiga Jerai, Kupang.FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

Baling: Cubaan nekad pemandu lori membawa daun ketum seberat 4.5 tan bernilai RM45,000 ke Kelantan gagal apabila kenderaan itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Covid-19 di Jalan Baling-Gerik berdekatan simpang tiga Jerai, Kupang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bertindak menahan lori tiga tan dari arah Kupang menghala ke Gerik, Perak selepas dilihat mencurigakan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggotanya yang melakukan pemeriksaan menemui longgokan plastik hitam diikat kemas di dalam lori yang ditutup dengan kanvas berkenaan.

"Terdapat sebanyak 450 bungkusan berisi daun ketum dianggarkan bernilai RM45,000 yang didakwa diambil di Nami, Padang Terap oleh pemandu lori itu untuk dihantar ke Kelantan.

"Pemandu berusia 39 tahun itu juga mengaku mengambil upah RM800 bagi setiap perjalanan membawa daun ketum berkenaan ke Kelantan," katanya pada sidang media di IPD Baling, di sini.

Hasanuddin berkata, semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah bagi kesalahan sama dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Baling, tahun lalu.

Katanya, siasatan lanjut turut mendapati lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Suspek direman sehingga 4 Februari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, selain didapati melanggar Peraturan 4 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki dan wanita warga Thailand ditahan berikutan penemuan sejumlah dadah dalam kereta dinaiki mereka selepas dikejar anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ketika cuba melarikan diri di Parit Panjang, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian 7 malam, suspek berusia 34 dan 30 tahun yang menaiki Honda Accord dilihat membuat pusingan selepas menyedari terdapat SJR di kawasan Binjul.

"Anggota MPV bertindak mengejar kereta dipandu suspek sebelum berjaya menahannya berhampiran sebuah stesen minyak di Parit Panjang.

"Polis kemudian menemui dadah jenis syabu dan pil kuda di dalam kereta itu dan mereka mendakwa hanya menjual secara kecil-kecilan selain tiada rekod jenayah," katanya.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methapethamine, manakala rakan wanitanya negatif dadah.

"Wanita berkenaan mempunyai dokumen perjalanan sah dan kedua-dua suspek direman sehingga 4 Februari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 5:55 PM