Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Rawang: Polis masih mengklasifikasikan kes seorang lelaki dan wanita yang maut selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam Tasik Biru di Jalan Kampung Setia, Batu Arang, petang semalam, sebagai kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, setakat ini beberapa saksi sudah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kejadian berkenaan.

"Kes masih lagi disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan mendapati hubungan kedua-dua mereka adalah kawan dan mangsa lelaki adalah pesara awal polis atas faktor kesihatan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sebelum ini, warganet di media sosial mendakwa kedua-dua individu berkenaan bertindak demikian untuk membunuh diri.

Lewat petang semalam, dua individu lemas selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Tasik Biru, Jalan Setia Kuang, dekat sini.

Mangsa pertama yang juga pemandu dikenal pasti sebagai Muhammad Faizal Abu Hassan, 43, beralamat di Pangsapuri Sri Anggerik 1, Bandar Puchong Jaya, Puchong manakala mangsa kedua dikenal pasti sebagai Chong Kha Mun, 35, beralamat di pangsapuri sama.

Kejadian pada 6.10 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu mangsa dari arah Kuang hilang kawalan.

Kereta itu kemudian terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam Tasik Biru.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati kenderaan berkenaan sudah dialihkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 4:26 PM