Peniaga Sarawak tidak disisih daripada Program Subsidi Upah 3.0.
Peniaga Sarawak tidak disisih daripada Program Subsidi Upah 3.0.
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menafikan dakwaan bahawa komuniti perniagaan di Sarawak disisihkan daripada Program Subsidi Upah 3.0 yang disediakan Kerajaan Persekutuan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kekeliruan timbul kerana program itu dikhaskan di semua negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, Sarawak terkecuali daripada program itu kerana negeri ini hanya dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, menurut beliau, kekeliruan itu perlu diperbetulkan dengan cara baik bagi mengelak tanggapan negatif terhadap usaha Kerajaan Persekutuan membantu komuniti perniagaan yang terkesan akibat Covid-19.

"Tidak benar sama sekali sektor perniagaan di Sarawak dinafikan daripada subsidi itu yang tentunya amat penting untuk membantu mereka dalam keadaan mencabar ini.

"Saya percaya ini adalah masalah teknikal yang dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil daripada Persekutuan Perniagaan Sarawak hari ini.

Pertemuan diadakan bagi membantu menyelesaikan isu komuniti perniagaan di Sarawak yang tidak layak memohon Program Subsidi Upah 3.0.

Persekutuan Perniagaan Sarawak menaungi 13 dewan perdagangan yang mewakili kira-kira 10,000 syarikat perniagaan berdaftar di negeri ini.

Wan Junaidi turut memberi jaminan untuk menyelesaikan isu itu dengan baik agar komuniti perniagaan di Sarawak turut menikmati kemudahan sama seperti yang diterima rakan mereka di negeri lain.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu komuniti perniagaan ini mengemukakan rayuan berhubung isu itu kepada pihak berkaitan.

"Seperti negeri lain, komuniti perniagaan di Sarawak juga menghadapi tempoh sukar susulan penurunan operasi yang teruk berikutan pergerakan terhad akibat Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 6:13 PM