TAN
TAN

Kuala Lumpur: Pemulihan sektor pelancongan dan hospitaliti bergantung kepada pengukuhan semula kepercayaan antara destinasi pelancongan dan sumber pasaran.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu memainkan peranan dalam menyelaras industri hospitaliti secara berkesan bagi mencapai matlamat ini.

Ketua dan Naib Presiden OYO Malaysia dan Singapura, Tan Ming Luk berkata,  Malaysia sedang beralih kepada fasa endemik dan  pemulihan mula kelihatan.

Katanya, penting untuk semua pihak merancang cara industri hospitaliti boleh mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan apabila ekonomi kembali pulih sepenuhnya nanti.

"Perubahan dari segi struktur dan fizikal terhadap destinasi pelancongan sangat diperlukan bagi menangani keperluan kesihatan dan jangkaan pengunjung," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan label standard di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperakui langkah keselamatan dan kebersihan boleh mengurangkan keresahan dalam kalangan pelancong.

Katanya, ia juga mengelakkan kekeliruan dan meningkatkan kepercayaan serta keyakinan.

"Label baharu ini, antara lainnya boleh digunakan untuk menunjukkan cecair pencuci tangan dan kemudahan untuk mencuci tangan, protokol penjarakan fizikal dan kekerapan prosedur pembersihan, serta transaksi automatik dan tanpa sentuhan. Bukti vaksinasi turut membantu," katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata, bantuan kewangan pula bukan bertujuan menggantikan kerugian yang dialami oleh perniagaan akibat daripada pandemik ini.

Namun, katanya, ia dapat mengurangkan impak dengan membantu mengurangkan kos, meningkatkan permintaan dan menyelesaikan masalah aliran tunai hingga jumlah pelancong kembali pulih.

Beliau berkata, kos boleh dikurangkan menerusi penangguhan bayaran yuran pelesenan, cukai jualan dan perkhidmatan serta banyak lagi, selama setahun.

Selain itu katanya, subsidi upah juga boleh dilanjutkan sehingga Mac 2022, yang akan memberi manfaat kepada lebih kurang 4.8 juta pekerja.

perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Penangguhan cukai untuk syarikat dalam industri pelancongan yang sebelum ini diperkenalkan untuk ejen pelancongan, pengendali hotel, syarikat penerbangan dan lain-lain untuk selama enam bulan mulai 1 April hingga 30 September 2020, terbukti sangat membantu dan kami mencadangkan inisiatif ini diperkenalkan semula untuk PKS di sektor pelancongan.

"Inisiatif ini boleh dilaksanakan untuk tempoh permulaan selama enam bulan mulai Oktober 2021 hingga April 2022, membolehkan syarikat terbabit  menangguhkan bayaran cukai pendapatan bulanan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:10 AM