Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Kak Chik sedih sebab tak boleh ke sekolah, rindu nak belajar dengan kawan macam dulu," itu yang sering dituturkan Nurhanis Mohamad, 17, kepada ibunya, Asmiza Mustapha, 45.

Menurut Asmiza, anak keempat daripada lima beradik itu yang disapa sebagai Kak Chik itu hanya sempat belajar sehingga tahun enam berikutan penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap lima yang dideritainya sejak tujuh tahun lalu dan kini perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup selepas kedua-dua buah pinggangnya tidak berfungsi.

"Sejak itu, beberapa kali Kak Chik menyuarakan hasratnya kembali ke sekolah, namun keadaan dirinya agak terbatas sejak dua tahun lalu. Jadi, saya hantar dia ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kadok.

"Walaupun Kak Chik tidak boleh menulis dan membaca disebabkan matanya rabun selain tangannya kerap menggigil kerana penyakit saraf, namun sekurang-kurangnya apabila berada di PDK dia boleh mempelajari kemahiran lain bersesuaian kemampuannya," katanya ketika ditemui di Kampung Biah di sini, kelmarin.

Menurutnya, selain penyakit CKD, anaknya juga berdepan pelbagai komplikasi seperti saraf, tekanan darah tinggi dan sawan.

"Penyakit saraf menyebabkan Kak Chik tidak boleh berdiri terlalu lama berikutan kedua-dua kakinya tidak lurus atau membengkok dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

"Pada masa sama, Kak Chik juga perlu bergantung kepada ubat darah tinggi, saraf dan sawan yang diberikan pada setiap hari.

"Lebih menyedihkan, penyakit itu menyebabkan berat badan Kak Chik hanya seberat 21 kilogram (kg) dan tidak membesar seperti remaja seusia," katanya.

Menceritakan keadaan anaknya itu, Asmiza berkata, dia tidak menduga anaknya menghidap penyakit buah pinggang kerana pada mulanya diserang sawan ketika tidur sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama empat hari.

ASMIZA bersama anaknya, Nurhanis yang menderita penyakit buah pinggang kronik serta pelbagai komplikasi masalah saraf, tekanan darah tinggi, dan sawan.  FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ASMIZA bersama anaknya, Nurhanis yang menderita penyakit buah pinggang kronik serta pelbagai komplikasi masalah saraf, tekanan darah tinggi, dan sawan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Anak saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dirawat dua bulan bagi memastikan tahap kesihatannya dan doktor pakar mengesahkan kandungan urea dalam buah pinggangnya terlalu tinggi.

"Sejak lima tahun lalu, hampir seluruh badan Kak Chik ditebuk termasuk di leher, dada dan perut untuk memasukkan tiub bagi rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) yang hanya dilakukan di rumah.

"Bagaimanapun, Kak Chik perlu menjalani dialisis di HPRZ II setiap tiga kali seminggu untuk mencuci darah," katanya.

Menurutnya, berikutan kesukaran berulang-alik ke HRPZ II selepas anaknya memulakan rawatan dialisis sejak empat tahun lalu, suaminya Mohamad Jaafar, 49, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas berhenti kerja bagi memudahkan urusan rawatan anak mereka.

"Selepas suami berhenti kerja, kami sepakat membuka kedai makan berhampiran rumah dengan sewa kedai RM400 sebulan untuk menyara keluarga.

"Walaupun pendapatan tidak menentu, kami bersyukur masih ada rezeki untuk anak-anak meskipun sekadar cukup makan.

"Beban ditanggung sedikit ringan apabila anak sulung, Nur Haifa Mohamad, 24, yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) turut membantu dengan perniagaan kecil-kecilan dalam talian sementara mendapatkan pekerjaan tetap," katanya.

Menurutnya, selain perbelanjaan untuk dua anaknya yang masih belajar, dia juga perlu memperuntukkan RM1,000 sebulan bagi keperluan Nurhanis termasuk susu khas, lampin pakai buang dan juga kos ulang-alik ke hospital selain bayaran sewa rumah RM300 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 7:00 AM