ISMAIL Sabri ketika ditemui di Pejabat Menteri Pertahanan Malaysia, Wisma Pertahanan. FOTO FOTO Eizairi Shamsudin
ISMAIL Sabri ketika ditemui di Pejabat Menteri Pertahanan Malaysia, Wisma Pertahanan. FOTO FOTO Eizairi Shamsudin
Nazarali Saeril; Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Isu dalaman Umno perlu diselesaikan secara dalaman dan kekeluargaan parti seperti yang diamalkan sebelum ini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tumpuan ketika ini sepatutnya terarah kepada perpaduan dan gerak kerja untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan bukannya berbalah secara terbuka.

Katanya, sejak dulu, menjadi tradisi parti untuk bebas bersuara kerana ia adalah amalan demokrasi, namun perlu dilakukan mengikut ruang lingkup parti dan ahli sahaja.

"Masalah semua ada, DAP ada masalah dalaman, PKR ada masalah dalaman… tapi jangan kita tonjolkan sampai orang luar tengok kekurangan kita.

"Kalau kita nak bergaduh, bergaduh di dalam. Kita semua sedia maklum bahawa setiap individu itu tidak sempurna dan ada kekurangan malah tidak akan lari dari membuat silap.

"Begitu juga pemimpin Umno. Jadi, kalau kita mula menyerang sesama kita di luar, bukan saja pecah itu semakin besar tetapi orang akan nampak yang kita lemah," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin pelbagai peringkat parti itu yang membuat kenyataan terbuka meminta Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan kerana hilang keyakinan.

Beberapa pemimpin Pemuda Umno termasuk di bahagian Pontian dan Seremban menggesa Ahmad Zahid berundur sebagai presiden atas alasan ia baik untuk masa depan parti itu.

Terbaru hari ini, Ketua Umno Bahagian Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menggesa Ahmad Zahid berundur secara terbuka demi bangsa Melayu, Umno, kesetiaan dan kegigihan 3.6 juta ahli parti.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, masalah dalaman berlaku kepada semua parti, namun ia perlu diselesaikan secara dalaman demi kebaikan bersama.

"Apapun masalah kita selesaikan secara kekeluargaan, secara muafakat. Walaupun Umno mengamalkan demokrasi iaitu setiap orang berhak untuk bersuara, saya lebih suka kalau kita bersuara sesama kita di dalam. Itu lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 8:33 PM