AHMAD Zahid  ketika sesi penggulungan perhimpunan.
AHMAD Zahid ketika sesi penggulungan perhimpunan.
Mohd Azrone Sarabatin dan Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: UMNO tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap mana-mana pemimpinnya yang menyuarakan kritikan secara terbuka jika bertujuan membina semula parti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah itu sebahagian daripada pendekatan baharu parti dalam meraikan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpinnya.

“Walaupun ada pihak cuba sedaya upaya untuk hancurkan UMNO sama ada dari dalam dan luar, asalkan perpaduan dalaman mantap, kita akan terus berjuang.

“Oleh kerana negara ini mengamalkan demokrasi sama ada menang atau kalah pilihan raya, perdebatan politik mesti dihormati. Kita menghormati keluhuran undang-undang, bukan ambil tindakan (semata-mata),” katanya pada sidang media selepas tamat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018, di sini, semalam.

Menyentuh langkah dibuat untuk memperkukuhkan parti, beliau yakin ahli faham mengenai apa yang dimaksudkan dalam ucapannya malam kelmarin.

“Saya tidak merujuk kepada mana-mana individu. Pintu rundingan sentiasa terbuka. Jika kamu ada sesuatu perbezaan (pendapat) sila jumpa saya.

“Jika tujuan beri kritikan saya boleh terima, tetapi mesti membabitkan saranan membina (kepada parti). Berhentilah melakukan perkara ketidaksetujuan. Dalam usaha meraikan perbezaan maka kita tidak boleh ambil tindakan itu semata-mata melayan perbezaan pandangan.

“Saya ambil sikap terbuka apabila berbeza pendapat dan harap (dia) jadi pemimpin utama pada masa depan. Jika dalam keadaan waktu itu, individu berkenaan akan ambil jalan, sama ada buat rundingan di dalam atau di luar. Saya pilih rundingan dalaman sebab pendekataan ini terbaik untuk menjaga parti. Jangan ambil kesempatan dalam kesempitan,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilihat antara pemimpin yang lantang menyuarakan kritikan terhadap kepimpinan sekarang, terutama berkaitan hala tuju parti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan Pakatan Harapan mesti menunjukkan moral yang terpuji dengan tidak menyimpan dendam terhadap seseorang yang pernah berjasa kepada parti dan negara.

“Negarawan patut dihormati. Jangan jatuhkan imej bekas ketua negara. Prinsip hormati demokrasi mestilah berbuat begitu,” katanya.

Menyentuh kritikan berterusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap UMNO di luar negara, Ahmad Zahid berkata, beliau bukan lagi bersama parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 11:22 AM