DR Zulkifli (dua kanan)  menyampaikan sumbangan bantuan Musa'adah Covid-19 JAKIM-YWM kepada Pengerusi JAWHAR, Ruslan  Said. FOTO Ihsan JAKIM
DR Zulkifli (dua kanan) menyampaikan sumbangan bantuan Musa'adah Covid-19 JAKIM-YWM kepada Pengerusi JAWHAR, Ruslan Said. FOTO Ihsan JAKIM
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersetuju menyumbang RM260,000 menggunakan Tabung Musa'adah Covid-19 Jabatan Agama Islam (JAKIM)-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) seluruh Malaysia bagi membantu golongan memerlukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan itu sebagai tanda sokongan atas usaha murni MAIN dan AMZ membantu golongan memerlukan selain di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur,Putrajaya dan Labuan).

Katanya, beliau juga melahirkan rasa simpati kepada negeri-negeri yang dilanda banjir dan Kerajaan bersetuju memperuntukkan sumbangan tambahan sebanyak RM40,000 kepada negeri yang terjejas.

"Sepanjang tempoh getir ini golongan asnaf dan fakir miskin menjadi keutamaan bagi diri saya," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Bantuan banjir itu disumbangkan kepada Majlis Agama Islam Johor, Pahang, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Zulkifli berkata, sejak Mac tahun lalu sehingga hari ini, pihaknya sudah mengagihkan sumbangan misi Musaadah Covid-19 berjumlah RM365 juta melalui agensi agama bawah jabatannya.

Katanya, sebagai mewakili Kerajaan, beliau menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada pihak berkuasa agama negeri melalui MAIN dan AMZ seluruh negara yang sentiasa bertungkus-lumus dan komited dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Saya juga melahirkan rasa simpati kepada negeri-negeri yang dilanda banjir dan berharap semua agensi bawah jabatan ini akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam memberikan khidmat terbaik dalam membantu golongan asnaf.

"Masyarakat, individu dan syarikat korporat digalakkan terus menyumbang ke Tabung Musa'adah Covid-19 JAKIM-YWM bagi membantu asnaf selain mempertingkat usaha pemerkasaan sosio ekonomi ummah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 12:19 PM