DR Muhammad Fathi Yusof untuk Kafe Ahad. FOTO arkib Supian Ahmad
DR Muhammad Fathi Yusof untuk Kafe Ahad. FOTO arkib Supian Ahmad
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Proklamasi Darurat susulan penularan pandemik Covid-19 tidak perlu menjadi satu polemik atau ketakutan kepada rakyat Malaysia.

Ini kerana ia bukan saja dibenarkan bagi menangani masalah keselamatan dan ketenteraman awam, malah soal ekonomi disebut secara jelas sebagai salah satu sebab yang membolehkan darurat diisytiharkan.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ramai yang khuatir dengan istilah itu hingga timbul dakwaan kononnya membawa kepada pentadbiran diktator.

Katanya, ada juga yang membayangkan bahawa proklamasi darurat akan menyebabkan negara diperintah pihak tentera dan seluruh negara tertakluk kepada perintah berkurung.

"Tanggapan ini jauh dari hakikat sebenar. Dari sudut pemerintahan, Proklamasi Darurat Covid-19 tidak akan mengubah bentuk pemerintahan sedia ada.

"Kerajaan tetap boleh berfungsi seperti biasa kerana perubahan fungsi kerajaan di peringkat kementerian dan negeri tidak diperlukan bagi menangani Covid-19," katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku ialah pemberian kuasa secara jelas dan teratur kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangani Covid-19.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan, peranan aktif MKN digerakkan untuk menangani wabak ini.

"Tetapi dari sudut kuasanya agak kurang jelas dan janggal. Masalah ini dapat diatasi dengan proklamasi darurat," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Perundangan Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, terdapat perbezaan antara PKP dan darurat yang perlu difahami.

Katanya, PKP hanya membabitkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu manakala darurat mengawal keseluruhan kerajaan persekutuan dari segi pentadbiran negara.

"Jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan berbincang soal hal ehwal negara dan ini akan membolehkan pentadbiran berjalan tanpa gangguan," katanya.

Beliau berkata, sebarang undang-undang hasil perbincangan jawatankuasa itu akan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan dikenali sebagai ordinan.

Katanya, semasa darurat, kuasa eksekutif adalah dibawah Yang di-Pertuan Agong namun ia bukan suatu rampasan kuasa.

"Bidang kuasa mahkamah juga berjalan seperti biasa, jadi kalau ada perbicaraan ia boleh terus berjalan.

"Jadi tidak perlu gusar, tidak perlu takut. Hidup berjalan seperti biasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 4:55 PM